Qudwah hasanah, contoh ikatan yang terbaik, semestinya junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, Rasulullah merupakan tokoh sepanjang zaman yang telah berjaya menggilap rasa perhambaan umat manusia kepada Allah pada zaman jahiliyah dahulu.
Rasulullah S.A.W, ketokohannya perlu dicontohi oleh pemuda Islam sekarang, Rasulullah yang telah merubah hati-hati umat ketika zaman jahiliyah yang kegersangan tanpa cinta sejati. Apabila kuatnya rasa perhambaan kepada Allah, maka mudahlah hati dapat menerima janji-janji pasti dan perintah-perintah penuh hikmah dari Allah S.W.T.
Lelaki yang paling wajar dicintai oleh wanita solehah ialah Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah telah mengangkat martabat kaum wanita ketika itu, dari dipandang hina ke satu kedudukan yang sangat istimewa di sisi Islam. Ajaran yang dibawa Rasulullah telah berjaya menambat hati pemuda ketika itu, telah berjaya mengubah budi pekerti kaum lelaki.
Timbullah rasa tanggungjawab di hati pemuda Islam ketika itu, dari zaman penuh kegelapan berubah kepada zaman kegemilangan Islam yang bercahaya. Sedar akan kedudukan dan tanggungjawab masing-masing di sisi Islam. Bagaikan suluhan cahaya datang menerangi. Menyuluh setiap celahan kegelapan.
Ketika itu walaupun umat Islam dipukul resah, namun wahyu Allah diperdengarkan terus dari Rasulullah. Tiada keresahan tiada lagi amalan zaman jahiliyah yang pastinya ketika itu sangat menzalimi sesama sendiri.
Kaum wanita dikagumi jasanya, terus menerus kaum wanita menyambung untaian talian cinta berbanding diperlakukan dengan kehinaan pada zaman jahiliyah, khususnya oleh kaum lelaki.
Lelaki yang soleh tiada mengenal erti kegagalan dalam menuntut kemuliaan Allah di dunia dan akhirat, kerana lelaki soleh tidak dayus membiarkan saudara perempuannya keluar dari rumah tanpa perlindungan hukum Allah, tubuh badan kaum wanitanya diselimuti dengan helaian kain yang sudah disyariatkan.
Ini membawa keuntungan kepada kaum wanita kerana mereka mendapat kebebasan dalam kawalan dan perlindungan keselamatan oleh kaum lelaki. Iaitu dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad S.A.W menjadikan bapa atau suami mereka berbuat baik dan bertanggungjawab ke atas keluarganya. Demikian juga dengan kedatangan Rasulullah S.A.W telah menjadikan anak-anak tidak lupa untuk berbakti kepada kedua ibu bapa mereka.
Salah satu tanda kasih Baginda S.A.W terhadap kaum wanita ialah dengan berpesan kepada kaum lelaki agar berbuat baik kepada wanita, khususnya kepada ahli keluarga. Rasulullah S.A.W sendiri menjadikan diri dan keluarga Baginda suri teladan kepada kaum lelaki untuk bagaimana berbuat baik dan memuliakan kaum wanita.
Rasulullah S.A.W bersabda: "Orang mukmin yang paling sempurna Imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya." [Riwayat Abu Daud dan Tirmizi]
Lagi sabda Rasulullah S.A.W: "Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi." [Riwayat Abu 'Asakir]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan