KIRA-KIRA 1 minggu lagi kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-54. Kebetulan pada tahun ini sambutan itu boleh dikatakan jatuh serentak dengan ketibaan Hari Raya Aidilfitri.
Sedikit sebanyak ia tentu menimbulkan dilema di kalangan rakyat mengenai mana satu yang perlu diutamakan. Sambutan Hari Kemerdekaan atau Hari Raya?
Yang pasti kehadiran kedua-duanya cukup signifikan kepada penduduk negara ini.
Hari Raya merupakan hari kebesaran kepada umat Islam selepas kejayaan menunaikan ibadat puasa.
Sementara Hari Kemerdekaan merupakan tarikh penting negara bebas daripada belenggu penjajahan.
Namun, disebabkan kedua-dua tarikh penting itu datang serentak sudah tentu tumpuan rakyat terutama yang beragama Islam lebih kepada keperluan Ramadan dan persiapan Hari Raya.
Tetapi ia tidak bermakna kehadiran tarikh keramat 31 Ogos tahun ini perlu dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Menunaikan ibadah puasa dan kesibukan menyambut Hari Raya bukan bermakna ketibaan Hari Kebangsaan perlu dipinggirkan.
Sumber Utusan Online
Menghayati dan menghargai Hari Kemerdekaan tidak menuntut masa dan yang banyak dan belanja besar.
Sesuai dengan semangat Ramadan diikuti dengan kehadiran Aidilfitri yang merupakan tanda kesyukuran dan keinsafan, Hari Kemerdekaan juga berdiri atas semangat yang sama.
Menyambut dan meraikan 31 Ogos merupakan tanda bersyukur atas nikmat merdeka yang dikecapi hari yang membolehkan kita menunaikan ibadat puasa dan menyambut hari raya dalam suasana yang aman dan damai.
Malah nikmat kemerdekaan itu turut menyumbang kepada pembangunan negara yang memberi ruang kepada setiap kelompok masyarakat memiliki kehidupan yang lebih berkualiti.
Bayangkan apakah nasib kita dalam menunaikan ibadat puasa dan menyambut ketibaan Aidilfitri jika negara masih dijajah? Tentu kita tidak bebas. Tentu ada sekatan dan halangan tertentu.
Tetapi disebabkan Malaysia merupakan sebuah negara yang bebas dan merdeka, maka kita semua juga bebas beramal dan beribadat serta meraikan hari-hari kebesaran.
Oleh itu, walaupun tumpuan lebih kepada Ramadan dan Aidilfitri, tetapi pada masa sama berilah sedikit ruang untuk Hari Kemerdekaan negara.
Ketika tengah berkira-kira untuk membeli pakaian baru atau mahu menukar perabut serta bagi mengganti langsir di rumah, apa salahnya masukkan sikit bajet untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
Sehelai Jalur Gemilang yang dikibarkan di depan rumah atau dilekatkan pada kereta sudah cukup menggambarkan penghargaan kita kepada ketibaan Hari Merdeka.
Tentu ada yang berkata, tanpa mengibarkan bendera di rumah atau di kereta tidak bermakna seseorang itu tidak bersyukur dengan nikmat merdeka.
Tidak dinafikan, semangat patriotik seseorang bukan terletak pada kibaran bendera. Tetapi, apa pula maknanya sambutan Hari Merdeka jika tidak ada kibaran bendera?
Mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah, bangunan dan premis perniagaan sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan terutamanya adalah sebagai peringatan bahawa kita sedang melalui tarikh penting kelahiran negara.
Kibaran Jalur Gemilang yang boleh dilihat di serata tempat dan sudut sudah tentu akan menonjolkan kemeriahan dan keceriaan sambutan tersebut.
Namun, kini selepas lebih seminggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib melancarkan Kempen Keceriaan Merdeka dan Kibarkan Jalur Gemilang dan selepas seminggu Ogos berlalu, kibaran bendera kebangsaan itu masih sukar untuk dilihat.
Hanya satu dua kenderaan persendirian sahaja yang memasang Jalur Gemilang setakat ini. Sementara pada bangunan pula, kemeriahan hanya kelihatan di bangunan-bangunan kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC).
Walaupun ketibaan 31 Ogos tahun ini bertindih dengan Aidilfitri, ia tidak bermakna sambutan Hari Merdeka tahun ini perlu dibiarkan hambar.
Sebagai rakyat yang telah mengecapi pelbagai nikmat merdeka, berilah sedikit penghargaan kepada sambutan Hari Merdeka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan