Credit from : Tengku Fariduddin dan diterbitkan pada 16
January 2013
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta
salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra :
Rasulullah SAW pernah bersabda, “Perbuatan yang engkau lakukan tidak akan
menyelamatkan engkau dari api neraka”, mereka berkata, “Bahkan tuan sendiri ya
Rasulullah?” Nabi Muhammad SAW bersabda, “Bahkan aku sendiri, kecuali Allah
melindungiku dengan kasih dan rahmatNya.
Oleh kerana itu lakukanlah perbuatan
baik sepatut mungkin, setulus mungkin, sedapat mungkin dan beribadahlah kepada
Allah pada pagi dan petang hari, pada sebagian dari malam hari dan bersikaplah
al-qashd (mengambil pertengahan dan melaksanakannnya secara tetap) kerana
dengan cara itulah kamu akan mencapai (syurga)”.
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa
perbuatan yang akan menyelamatkan kita daripada seksaan api neraka adalah :
EMPAT AMALAN YANG
DAPAT MENYELAMATKAN DARIPADA API NERAKA
Pertama : Perbuatan sebaik mungkin.
Kedua : Perbutan setulus mungkin
(bersungguh-sungguh ikhlas)
Ketiga : Perbuatan sedapat mungkin
(bersungguh-sungguh hingga semaksima mungkin)
Keempat : Beribadah dengan cara
sederhana dan istiqamah (berterusan).
Huraiannya :
Pertama : Perbuatan
sebaik mungkin (peringkat ihsan)
Allah SWT berfirman bermaksud: “Berbuat baiklah (kepada
hamba Allah) seperti mana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian
nikmat-Nya yang melimpah-limpah).” (Surah al-Qasas, ayat 77)
Ihsan adalah tonggak yang menegakkan kerangka agama seiring
iman dan Islam. Namun, umat Islam kini memandang remeh konsep ihsan ini
sehingga tidak mengambil endah kepentingannya dalam kehidupan seharian.
Ihsan bererti berbuat baik dan didefinisikan sebagai ajaran
atau konsep mendukung etika kerja yang baik. Berdasarkan perspektif ini, ihsan
dapat difahami sebagai produktiviti kerja secara optimum dengan hasil sumbangan
terbaik dan berkualiti tinggi. Konsep ihsan menjurus kepada dua matlamat utama.
Pertama, ihsan dalam ibadat dan kedua, ihsan dalam muamalat.
Ihsan dalam ibadat ialah beribadat kepada Allah dengan penuh
khusyuk dan tawaduk di samping ikhlas seolah-olah ketika itu sedang berhadapan
dengan Allah SWT.
Jika perasaan itu ada, sudah tentu manusia gerun untuk
melanggar larangan Allah SWT.
Menurut Ibnu Hajar, sekiranya manusia tidak dapat melihat
Allah, maka hendaklah dia meyakini Allah melihat dan mengawasinya. Justeru,
setiap muslim hendaklah menyempurnakan ibadat dengan sebaiknya bertepatan
landasan digariskan Allah dan sunnah Rasulullah SAW.
Perlu diingat konsep ihsan bukan sekadar memelihara hubungan
baik dengan Allah SWT dalam urusan ibadat semata-mata kerana ihsan turut
merangkumi setiap perlakuan sesama manusia sama ada bersangkutan perkara
duniawi mahupun ukhrawi.
Ihsan dalam muamalat adalah bersifat ihsan sesama manusia
dan juga sesama makhluk Allah SWT yang lain.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Wahai Aisyah! Kamu
hendaklah menaruh kasihan belas (berihsan). Sesungguhnya apabila ihsan masuk ke
dalam sesuatu, maka hendaklah ia menghiasinya. Dan apabila ihsan terkeluar
daripada sesuatu, maka ia akan rosak.” (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua : Perbutan
setulus mungkin (bersungguh-sungguh ikhlas kerana Allah SWT)
Ikhlas bermaksud melakukan amal ibadat sama ada secara
khusus atau umum semata-mata memburu keredhaa Allah. Bagi orang yang hatinya
berpaut dengan rasa keikhlasan tidak akan melakukan sesuatu mengharapkan
pembalasan. Pepatah ada mengatakan, “Ada ubi ada batas aku beri jangan lupa di
balas”. Seseorang yang ikhlas juga tidak mengharapkan pujian dan sanjungan
daripada manusia,jauh sekali menunjuk-nunjuk atau riak.
Ikhlas selalunya lahir dari hati yang luhur dan mengharapkan
reda Allah SWT. semata-mata. Inilah akan menjadi kunci kesempurnaan dan
kejayaan segala amal. Allah SWT. akan menerima perbuatan atau amal yang
dilakukan dengan ikhlas.
Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya kami menurunkan
Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran, oleh itu
hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya”
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya nilai
perbuatan itu bergantung dengan niatnya,dan sesungguhnya bagi setiap orang,
buah atau ganjaran sesuai bagaimana niatnya.barang siapa hijrahnya kerana
menuruti perintah Allah dan RasulNya nescaya hijrahnya diterima oleh Allah dan
RasulNya (dan diberi pahala) dan barang siapa hijrahnya kerana keuntungan dunia
yang dikejarnya atau kerana perempuan yang akan dikahwininya,maka hijrahnya
sampai
kepada yang diniatnya itu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Ketiga : Perbuatan
sedapat mungkin (bersungguh-sungguh hingga semaksima mungkin)
Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya Allah SWT menyukai
apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.”
(Hadis Riwayat Abu Daud).
Menurut hadis ini, apabila seseorang muslim suka membuat
sesuatu pekerjaan dengan tekun sehingga selesai dan sempurna pekerjaannya, maka
dia termasuk dalam kategori manusia yang disukai oleh Allah SWT.
Mungkin kita tertanya-tanya, kenapakah Allah SWT sukakan
muslim yang bersikap tekun dan bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya? Mungkin..
salah satu sebabnya ialah kerana Tuhan sendiri bersikap tekun dan
bersungguh-sungguh tatkala Dia mencipta makhluk dengan serba kesempurnaan.
Hal ini disokong oleh sebuah hadis lain; “Sesungguhnya Allah
itu cantik dan indah. Dan, dengan sebab itu, Dia sukakan keindahan.”
Barangkali sebab itu juga Allah SWT benci manusia yang
‘mencacatkan’ kesempurnaan . ciptaanNya. Jika sesuatu perbuatan dibuat sambil
lewa maka tidak bersungguh-sungguh maka perbuatan tersebut pasti rendah
kualitinya dan pelakunya akan mengalami kegagalan.
Keempat : Beribadah
dengan cara sederhana dan istiqamah (berterusan) diwaktu pagi, petang dan
sebahagian malam.
Islam tidak suka umatnya melakukan sesuatu ibadah yang
banyak tetapi berhenti ditengah jalan dan tidak mampu dilakukan secara
berterusan dan istiqamah. Sesuatu ibadah itu lebih baik dikerjakan sederhana
tetapi berterusan dan istiqamah.
Islam menuntut setiap insan supaya berusaha mengejar dan
mencari sedapat mungkin keperluan bagi menyempurnakan sebuah kehidupan sama ada
di dunia mahupun di akhirat nanti. Cara paling sesuai dianjurkan Islam ialah
dengan bersederhana.
Ibadah yang dilakukan sedikit tetapi istiqamah adalah lebih
baik daripada ibadah yang banyak tetapi berhenti ditengah jalan.
Diriwayatkan dari Aisyah ra : “Seseorang bertanya kepada
Nabi Muhammad SAW, “Apakah amal (ibadah) yang paling dicintai Allah?” Nabi
Muhammad SAW bersabda,” Amal (ibadah) yang dilakukan secara tetap meskipun
sedikit”(Hadis Riwayat Bukhari)
Pada masa sama, perlu ada keseimbangan supaya kedua-dua
tuntutan dunia dan akhirat dapat disempurnakan sebaiknya seperti sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Beramallah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup
selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu, seolah-olah kamu akan mati
besok pagi.” (Hadis riwayat Ibn Asakir)
Istiqamah ~~~~~~kita menempuh jalan (agama) yang
lurus (benar) dengan tidak berpaling ke kiri mahupun ke kanan. Istiqamah ini
mencakupi pelaksanaan semua bentuk ketaatan kepada Allah samaada zahir dan
batin dan meninggalkan semua bentuk larangan-Nya. Apabila hati telah istiqamah
dalam makrifat kepada Allah, dalam takut pada-Nya, pengagungankan-Nya, malu pada-Nya,
cinta pada-Nya, berhajat pada-Nya, keinginan pada-Nya, harapan pada-Nya dan
berdoa dan bermunajat pada-Nya, tawakkal pada-Nya dan berpaling dari selain-Nya
maka organ tubuh lainnya akan istiqamah. Kerana sesungguhnya hati adalah
komanden seluruh organ tubuh dan yang lain adalah prajurit.
Jika kita ingin anggota tubuh badan kita istiqamah maka
istiqamahkanlah hati kita dengan Iman. Dan iman ini tidak akan berlaku
istiqamah, kecuali lisan kita telah istiqamah terlebih dahulu, sebagaimana yang
pernah Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :”Tidaklah iman seorang hamba itu
lurus (istiqamah) hingga hatinya istiqamah, dan hatinya tidak akan istiqamah
kecuali lisannya telah istiqamah.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita melakukan amal ibadah soleh, amal
ibadah dan amal kebajikan secara bersungguh-sungguh, ikhlas, sederhana dan
berterusan (istiqamah). Setiap amalan kita akan dinilai dan diberi ganjaran
pahala oleh Allah SWT. Ingatlah bahawa hidup di dunia ini hanya sementara dan
kehidupan di akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi.
Insyaallah..sentiasa
mendoakan supaya sentiasa diberi PETUNJUK mu….Amiin…..
As Salam….daaaaa…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan