CERITA Misha Omar hendak berkahwin, sudah berkahwin termasuk didakwa berkahwin lari atau menjadi isteri ketiga kepada seorang usahawan automotif pernah menjadi cerita hangat sejak beberapa tahun lalu.
Penat juga dia menepis segala terjahan yang hampir semua pelurunya tersasar daripada tujuan asal. Akhirnya kerana terlalu lelah, dia memilih untuk membungkam diri. Ajaibnya, cara itu berkesan. Cerita tentang perkahwinannya hanyut mengikut gelombang masa.
Faktanya, Misha akan bertunang dalam masa terdekat manakala berkahwin sekitar hujung tahun ini.
“Bagaimanapun semuanya bergantung atas perbincangan keluarga kedua-dua belah pihak,” ujar Misha.
Ah, jejaka yang akhirnya berjaya mengajak penyanyi Bunga-Bunga Cinta dan Pulanglah itu bukan lelaki asing dalam dirinya.
Cinta mereka pernah kandas-sambung-kandas dan akhirnya dicantum semula sebelum sebulat suara tidak perlu terlalu ego untuk cuba menidakkan jodoh antara mereka.
Jejaka itu, Firos Ezzwan Rossly, 30, seusia dengan si manis Misha. Dibesarkan di Subang Jaya, Selangor, Firos merupakan juruterbang syarikat Penerbangan Malaysia Bhd. (MAS).
Bukan lelaki berkerjaya hebat atau kerabat diraja yang dikejar Misha, sebaliknya jejaka tersebut dipilih kerana dia mempunyai aura tersendiri.
“Dia tawarkan saya sesuatu yang tidak pernah saya fikir. Dia tawarkan saya untuk menjadi pelengkap kepada anak angkat saya, Adam Emir yang akan mencecah usia 7 tahun pada tahun hadapan.
“Dia mahu memimpin Adam ke sekolah sama seperti kebanyakan kanak-kanak lain yang mempunyai ibu dan bapa. Tawaran itu terlalu mahal untuk saya lepaskan,” ujar Misha.
Bukan sekadar tawaran itu sahaja. Misha mengaku, sejak mengenali Firos lima tahun lalu, dia adalah sahabat, kekasih, bekas kekasih dan kini bakal menjadi tunangan yang terbaik pernah hadir dalam hidupnya.
“Saya ada banyak sisi hitam dalam hidup. Dia sentiasa ada di sisi saya, walaupun satu ketika dahulu (tahun lalu) sewaktu kami berpisah, dia terpaksa mendengar luahan hati dan cerita cinta saya yang memang pada waktu itu hampir berkahwin dengan seseorang. Dia gigih bertahan!” tambahnya lagi sambil ketawa mengekeh.
Tersenyum mendengar luahan Misha, Firos kemudian menjadi sasaran pertanyaan.
Mengapa dia begitu setia menunggu Misha yang tidak kering gosip dengan lelaki, sementelah dia juga artis popular yang boleh memilih sesuka hati lelaki mana untuk dijadikan suami.
Mengapa Firos terlalu yakin bahawa Misha ialah destinasi cintanya yang sejati. Juga, bagaimana Firos boleh terlalu cool menjadi pendengar setia cerita cinta bekas kekasih sendiri yang mahu berkahwin dengan orang lain.
“Siapa kata saya setuju dia nak kahwin orang lain?” soal Firos sambil ketawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan